Friday, 12 April 2013

CERITA BINTANG


Pada malam yang tenang dan terang kerana awan tidak berarak mendung, dongakkanlah kepalamu ke langit dunia. Ya, langit yang terdekat. Halakan sepasang matamu ke samudera angkasaraya.

Subhanallah, malam yang indah dan syahdu. Tompokan awan putih bersih berpuput lalu dipukul angin gemalai. Sang unggas dan mergastua tidak henti-henti memuja dan memuji Penciptanya dalam bahasa dan irama yang tulus mengusik jiwa. Bayu malam bertiup lembut menyapa tubuh si perindu Tuhan.
Hati mukmin terasa damai tatkala menyaksikan  “al-Badr” menyimbahkan cahayanya yang dingin lagi mengasyikkan lalu dia terkesima dan tenggelam kusyuk di hadapan duli kebesaranNya.

Panorama langit malam bertambah indah dengan “hiasan” taburan gugusan jutaan bintang menghiasi langit. Gandingan sinar cahaya rembulan purnama dan gemerlapan sekalian bintang yang terus “berenangan” di putaran orbitnya menambahkan lagi seri malam kurniaan Tuhan.

Sayup di hati mukmn rasa “damai” dan “sakinah” yang tidak terhingga lalu terungkap untaian tasbih dan tahmid kerana apa yang mereka sedang lihat dan saksikan di sebalik segala keindahan dan kecantikan itu adalah kebenaran betapa wujud Maha Agung dan Maha Indahnya Allah Tabaraka wa Ta`ala, Pencipta alam semesta.

Firman Allah s.w.t:

“Sesungguhnya Kami telah menghiasi langit yang dekat dengan bintang-bintang dan Kami jadikan bintang-bintang itu alat-alat pelempar syaitan, dan Kami sediakan bagi mereka seksa neraka yang menyala”. (surah al-Mulk,ayat 5)

Imam al-Bukhari menukilkan bahawa Imam al-Qatadah berkata: "Allah menciptakan bintang-bintang tersebut untuk 3 kepentingan:

1.Sebagai perhiasan yang mengindahkan langit malam

2. Sebagai alat pelempar “perejam” terhadap syaitan-syaitan.

Firman Allah Taala:
                                         
“Dan kami jadikannya (bintang-bintang itu sebagai pelempar “rejaman” terhadap syaitan-syaitan”(surah al-Mulk,ayat 5)

3. Sebagai petunjuk arah dan haluan buat manusia.

Di dalam menafsir ayat ke-5 daripada surah al-Mulk, Imam Qatadah as-Sadusiy mengatakan,”Sesungguhnya Allah hanyalah menciptakan bintang untuk 3 tujuan:

1. Sebagai hiasan langit dunia
2. Sebagai pelempar syaitan
3. Sebagai penunjuk arah

Sesiapa yang meyakini fungsi bintang selain itu, maka beerti telah berkata-kata dengan fikirannya semata-mata, dia telah mendapatkan nasib yang buruk, mensia-siakan agamanya dan telah menyusahkan-nyusahkan bicaranya yang tidak memiliki ilmu sama sekali.

Sementara itu, Kiyai Haji Quraisy Shihab menjelaskan fungsi bintang adalah seperti berikut:

1. Bintang yang dekat menghiasi langit bagi orang yg memandang.(QS 67:5)

Sebelumnya,kerja syaitan adalah mencuri berita langit daripada para malaikat langit. Setelah dicuri, syaitan akan membawakan berita-berita langit tadi kepada tuan percikan api tukang ramal di muka bumi. Akan tetapi, Allah sentiasa menjaga langit dengan percikan api dari bintang, maka binasalah para pencuri bintang tersebut, apalagi ketika diutus Nabi s.a.w. Langit terus dilindungi dengan percikan api bintang sebagai perejam bagi syaitan,Wallahu A`lam

“Dan sesungguhnya kami dahulu dapat menduduki beberapa tempat di langit itu untuk mendengarkan (berita-beritanya). Tetapi sekarang yang (mencuba) mendengar-dengarkan (seperti itu) tentu akan menjumpai panah api yang mengintai (untuk membakarnya). Dan sesungguhnya kami tidak mengetahui (dengan adanya penjagaan itu) apakah keburukan yang dikehendaki bagi orang yang di bumi ataukah Tuhan mereka menghendaki kebaikan bagi mereka (al-Jin,ayat 9-10)

Hakikatnya berita langit yang dapat dicuri syaitan adalah sangat sikit sekali (lihat I`anul Mustafid bi Syarh kitabit tuhid,Sheikh Sholih bin Fauzan,2/14-15 tebitan Ulin Nuha,tahun 2003)

3. Sebagai tanda-tanda (penunjuk). Bintang juga berfungsi sebagai penunjuk di dalam kegelapan di darat mahupun laut.

Firman Allah:

“Dan (Dia ciptakan) tanda-tanda (penunjuk jalan.dan dengan bintang-bintang itulah mereka mendapat petunjuk”.(An-Nahl,ayt 16)

4. Sebagai petunjuk tanda kekuasaanNya bagi kaum yang memahami.(QS 16:12).

#DIPETIK DARI BUKU TUHAN ITU DEKAT

Thursday, 4 April 2013

MUHASABAH SOLAT KITA

Apabila hati dan seluruh diri difokuskan di dalam solat,maka seorang hamba itu sebenarnya berada dalam suatu perjalanan rohaniah yang sungguh hebat dan indah.Tidak ada perkara lain bermain di minda selain Allah. Sepanjang 24 jam yang dilalui dalam sehari, tiada saat yang lebih indah dan lebih merehatkan melainkan saat berdiri di hadapan Allah s.w.t

Sabda rasulullah s.a.w:

Pusat kebahagiaanku dijadikan terletak pada (ibadah) solat.(riwayat Muslim)

Dalam sebuah riwayat oleh imam an-Nasa`i, Nabi s.a.w bersabda: "dan dijadikan cahaya mataku pada solat". Apa yang tidak indahnya? Pada saat berdiri dalam solat itulah dia tenggelam dalam munajat ,berbicara dan berbisik dengan Rabbnya. Melalui solat, Allah memberi ruang seluas-luasnya untuk sekalian hamba datang menghadap dan memohon apa sahaja kepadaNya.Allah mahu mendengar rayuan,bisikan,munajat,dan rintihan hambaNya di dalam solat mereka.

Sabda Rasulullah s.a.w :

"Sesungguhnya seseorang yang sedang bersolat adalah sedang bermunajat dengan Tuhannya". (riwayat al-Bukhari)

Saat berlansungnya solat, dirinya dapat merasai apa yang dikatakan hakikat kebahagiaan. Dia juga dapat merasakan kemerdekaan rohnya pada waktu dibawa mengembara jauh menuju keheningan dan kesyahduan Mikraj.

Sabda nabi s.a.w: "Solat itu adalah mikraj bagi orang yang beriman."

Pada saat solat lima waktu itulah, jiwa muslim menjadi sebebas-bebasnya daripada "kehambatan" dan "kekangan" dunia yang tidak pernah bernoktah melainkan apabila malaikat maut menjelma menzahirkan dirinya.

Saat berqiyam itulah menghadap kiblat, jiwa,minda dan tubuh seorang muslim akan menjadi amat tenang , segar dan penuh kerehatan. Segala masalah dan bebanan hidupnya lenyap saat dahi dan 6 anggota sujud menyentuh bumi persis "wayar bumi" yang berfungsi untuk meneautralkan bebanan tenaga elektrik yang berlebihan ke dalam bumi. Benar, solat yang sempurna akan mencetuskan "kerehatan" yang maksimum buat hamba yang beriman.

Sabda Nabi s.a.w :

"Bagunlah wahai Bilal (untuk azan) dan rehatkanlah kami dengan solat."(riwayat Imam Ahmad)

Demikianlah nilai dan kedudukan solat pada mata hati seorang muslim.

Namun,apakah solat kita berlangsung sebagaimana digambarkan? Apakah solat kita selama ini benar-benar membuahkan ketenangan ,kebahagiaan dan kekuatan? Apakah roh kita terasa benar-benar bahagia apabila dibawa "mengembara" ketika bersolat ataupun sebaliknya? Apakah kita telah menjiwai "makna-makna" dan pengajaran yang tersirat yang terkandung dalam kefarduan solat itu?

BELUM RASA KELAZATAN SOLAT

Ya, sehingga kini kebanyakan kita masih belum dapat merasai semua "keindahan" cetusan solat itu. Mengapa kita merasakan amat berat untuk solat? walaupun kita bersolat, jiwa kita berasa lesu dan tidak bersemangat untuk melaksanakannnya. Alasan itu tidaklah pelik kerana penjelasan Allah yang berikut.

KENAPA SOLAT TERASA BERAT?

Solat dianggap "berat" dan "payah" kerana hati belum benar-benar kusyuk. Hati kita belum tunduk dan pasrah kepada Allah dalam erti kata yang sebenar-benarnya.Apabila hati tidak kusyuk,maka solat yang lima minit terasa bagai satu jam.

Firman Allah s.w.t

"Mintalah pertolongan dengan sabar dan solat, dan sesungguhnya solat itu sangat berat kecuali bagi orang yang kusyuk".(surah al-Baqarah ayt 45)

Kusyuk amat penting dalam melaksanakan solat. Apabila orang mukmin dikatakan memelihara solat, maka ia bermakna secara lahiriahnya mereka bersungguh-sungguh memelihara rukun,syarat dan adab. Manakala dari segi istlah pula memelihara kekusyukan solat itu. Solat yang dikira pahala hanyalah solat yang disertai dengan kusyuk padanya. Jika tidak, solat seseorang itu hanya tinggal pergerakan tubuh semata-mata persis jasad yang tidak bernyawa.

KEJAYAAN HAKIKI

Kejayaan hakiki di dunia dan di akhirat hanya akan dikecapi bilamana kita berjuang bersungguh-sungguh memelihara kekusyukan di dalam solat. Hanya dengan kusyuk,kita akan merasakan kesan positif di dalam diri.

Firman Allah s.w.t :

"Sesungguhnya berjayalah orang yang beriman. Iaitu mereka yang kusyuk dalam solatnya."(surah al-Mukminun,ayt 1-2)

Menurut Imam al-Hakim dan Turmuzi, pada suatu hari rasulullah s.a.w ternampak seorang lelaki menyapu janggutnya ketika bersolat,maka baginda pun bersabda : "jika khusyuk hati lelaki ini akan tenanglah anggota badannya".

Imam al-Alusi telah berkata : khusyuk ialah merendah diri dengan perasaan takut di samping tenangnya anggota badan.

Ibn Jarir meriwayatkan bahawa sahabat, Abdullah bin abbas r.a berkata : "mereka yang kusyuk ialah mereka yng takut lagi tenang".

Sahabat Ali bin Abi Thalib r.a berkata : Kusyuk tempatnya dihati.

Imam Hassan al-Basri pula berkata : "tempat kusyuk ialah di hati dan kemudiannya ia mempengaruhi dan mengawal pandangan mata serta memenangkan anggota badan.

Adalah amat penting sekali persiapan hati kita sebelum berdiri melaksanakan solat. Pandangan yang agak merangkumi dan menyeluruh tentang kusyuk ialah pandangan sahabat, Abu Darda` r.a. Beliau berkata, "kusyuk ialah pengagungan terhadap Tuhan, keikhlasan dalam perkataan, kesempurnaan dalam keyakinan, memberikan sepenuh perhatian dan tidak berpaling ke kiri dan kanan kerana ia adalah daripada syaitan". Kesema pendapat ini disebutkan dalam al-Asas fit Tafsir Oleh Said Hawa.




Sumber dari buku Tuhan Itu Dekat