Friday, 18 November 2016

Penawar Duka Pengubat Sensara

Apabila insan terjatuh dalam ujian hidup; kesusahan, keperitan, kezaliman, keresahan, kesedihan dan segala rupa paras penderitaan, insan akan bertanya, apakah penawarnya? Di manakah jalan keluar dari segala kegelapan ini? Bagaimana mungkin dapat aku buang derita yang bersarang dalam jiwa dan peristiwa? Dapatkah aku keluar dari kemelut ini?

Sebahagian ujian itu, jika diukur dengan akal insani, seakan tiada lagi baginya jalan keluar. Warna kegelapan kadang-kala merangkumi segala penjuru, hanya Allah sahaja yang mampu mengeluarkan insan dari keadaan yang sedemikian. Kadang-kala pula insan terpaksa berhadapan dengan realiti yang amat pahit, tidak mampu ditolak oleh dirinya yang kerdil. Namun, insan yang beriman yakin bahawa Allah Yang Maha Berkuasa boleh menukar segala keadaan. Menggantikannya dengan lebih baik yang tidak disangka. Memindahkan duka kepada bahagia dalam pelbagai rupa dan warna.
Persoalannya, bagaimanakah caranya agar Allah Yang Agung melimpahkan rahmatNya lalu menurunkan pertolonganNya. Ya, memang insan disuruh berdoa dan merintih kepadaNya. Namun apakah caranya agar mustajab lalu Allah membawanya keluar dari daerah duka kepada daerah sejahtera atau bahagia? Apakah ungkapan yang meredhakan Tuhan al-Rahman yang menjadikanNya dengan pantas mendengar rintihan insan?

Insan perlu sedar, antara penghalang rahmat Tuhan kepadanya adalah dosa dan kesalahannya. Dan, setiap insan pula tidak terlepas dari salah dan dosa. Sehebat mana pun, sealim mana pun dia, insan tetap insan, terdedah kepada dosa. Jika tidak anggotanya, mungkin dosa jiwa atau hati nurani yang sombong dan bongkak, atau hasad atau sangka buruk dan pelbagai lagi. Percikan dosa sentiasa ada. Ia penghalang cahaya indah syahdu antara nurani insan mendampingi Allah untuk menjadi kekasihNya. Maka, doa sentiasa diganggu oleh dosa. Apakah penawar yang menerangi jalan agar doa itu sampai kepada insan dengan pantas dan mustajab?Jawapannya ialah taubat dan‘istighfar’ iaitu kembalikan kepada Allah dan memohon ampun kepadaNya. Dengan jujur, dengan luhur, dengan kusyuk. Itulah penawar yang akan membuka kebahagian hidup. Itulah janjiNya: (maksudnya)
“Dan hendaklah kamu meminta ampun kepada Tuhan kamu, kemudian bertaubat kepadaNya supaya Dia memberi kamu nikmat kesenangan hidup yang baik (di dunia)…” (Surah Hud: 3)
Janji Yang Pasti
Setiap kita pernah melalui duka dan sengsara. Kita mencuba perbagai ungkapan dan doa agar Allah mendengar rintihan kita. Ya, doa itu senjata. Namun, di sana ada satu pemohonan yang jika dibuat oleh insan dengan keikhlasan jiwa, pengharapan dari lubuk jantung hatinya maka Allah akan mendatang pelbagai kebaikan lain kepadanya. Dikeluarkan dari kesempitan hidup, diberi kurnia rezeki dan anak, kebahagiaan jiwa dan ditambah kekuatan dan pertolongan.
Inilah janjiNya dalam al-Quran. Bukan janji yang diadakan oleh sesetengah buku doa, atau bicara tokoh-tokoh agama yang kadang-kala mengada-adakan pelbagai doa ‘sendirian berhad’ mereka yang entah dari mana dikutipnya. Tidak! Ini adalah jaminan langsung dari Allah dalam kitabNya. Apakah pemohonan itu? Pemohonan ialah doa agar Allah S.W.T mengampuni dosa. Apabila ia dilafazkan dengan ikhlas dan jujur. Sebanyak-banyaknya. Dengan kekerdilan diri, tunduk dan insaf, maka keajaiban pertolongan Allah pun akan datang dalam pelbagai rupa dan cara. Inilah janji dalam banyak ayat dalam al-Quran.
Firman Allah menceritakan nasihat Nabi Nuh a.s. kepada kaumnya: (maksudnya)
“Sehingga aku berkata (kepada mereka): “Pohonkanlah ampun kepada Tuhan kamu, Sesungguhnya Dia Maha Pengampun. (sekiranya kamu berbuat demikian) Dia akan menghantarkan langit yang mencurah-curah (hujan) kepada kamu. Dan Dia akan memberi kepada kamu banyaknya harta kekayaan serta anak-pinak; Dan Dia akan mengadakan bagi kamu kebun-kebun tanaman, serta mengadakan bagi kamu sungai-sungai” (Surah Nuh: 9-12).
Pelbagai Kurnia
Inilah janji Allah kepada yang berikan kepada sesiapa yang beristighfar dengan ikhlas. Atas lisan Nabi Nuh a.s. Allah berjanji untuk menurunkan hujan rahmatNya, dibanyak rezeki dan anak, diberikan harta yang berharga dan subur. Maka, yang beristighfar dengan penuh ikhlas sebanyaknya, akan menikmati peruntukan ini. Kekurangan hujan, harta, anak, kesuburan dan segalanya penawarnya ialah ‘istighfar’.
Dalam Miskat al-Masabih ketika membahaskan hadis istighfar, diriwayatkan seseorang datang kepada al-Imam Hasan al-Basri r.a mengadu tanahnya tidak subur, lalu jawab Hasan al-Basri: Beristighfarlah. Datang yang lain mengadu kemiskinan, jawab beliau: Beristighfarlah. Datang yang lain minta doa agar direzekikan seorang anak, jawab beliau: Beristighfarlah. Datang pula yang lain mengadu kebunnya kekeringan, jawab beliau: Beristighfarlah. Lalu ditanya Hasan al-Basri mengapa jawapannya semua sama bagi soalan yang berbeza. Katanya “Ini bukan pendapatku, inilah yang Nabi Nuh a.s sebut” –lalu beliau membaca ayat di atas.
Mengelakkan Bala
Allah juga menjamin bahawa Dia tidak akan mengazabkan insan di dunia ataupun di akhirat kita insan itu benar-benar beristighfar kepadaNya. Hambatan dan ketakutan terhadap dosa dapat dibentengi oleh istighfar yang ikhlas. Inilah janji Allah. Dia Maha Benar janiNya. Firman Allah: (maksudnya)
“Dan Allah tidak sekali-kali akan menyeksa mereka sedang engkau (wahai Muhammad) ada antara mereka; dan Allah tidak akan menyeksa mereka sedang mereka beristighfar” (Surah al-Anfal: 33).
Inilah janji Allah. Dalam ayat ini; kewujudan Nabi s.a.w dan kewujudan istighfar menghalang azab Allah. Adapun Nabi s.a.w baginda sudah tiada dalam kalangan kita, namun istighfar terus ada jika kita mengamalkannya. Wahai jiwa yang dihambat dosa! Beristighfarlah sebanyak-banyaknya nescaya diselamat dari bala dosa. Wahai yang takut ditimpa bala! beristighfarlah.

Ditambah Kekuatan
Gelora hidup kadang-kala amat menakutkan. Ia memukul insan dari sudut yang diduga dan tidak diduga. Jika hanya bergantung kepada kekuatan diri semata, insan akan terkorban dan tidak akan berdaya. Ganasnya lautan hidup hanya dapat dihadapi dengan kekuatan kurniaan Allah. Firman Allah: (maksudnya)
“(Kata Nabi Hud) dan Wahai kaumku! mintalah ampun kepada Tuhan kamu, kemudian taubatlah kepadaNya, supaya ia menghantarkan kepada kamu hujan lebat serta menambahkan kamu kekuatan di samping kekuatan kamu (yang sedia ada)”. (Surah Hud: 52).
Dengan tambahan kekuatan dari Allah dan bantuanNya insan merasai kekuatan dalam menelusuri permusafiran di dunia yang fana ini.
Maka membanyakkan istighfar adalah penawar hidup. Betapa banyak kisah insan-insan yang Allah berikan pelbagai kurnia disebabkan mereka membanyakkan istighfar. Betapa banyak hamba-hamba Allah yang diselamatkan dari pelbagai kesusahan, diberikan ketenteraman jiwa dan pelbagai pertolongan berkat keikhlasan istighfar mereka. Setiap insan yang beristighfar dengan ikhlas sebanyak-banyaknya pada sesuatu hari akan merasai kesyahduan ruhnya. Allah akan membuka ufuk akalnya. Dia akan alami kekudusan jiwa, kesegaran minda dan merasai perdampingan dengan Allah.
Tapi syaratnya, hendaklah istighfar yang ikhlas. Bukan yang hanya ‘berlagu’ dimulut tapi kontang jiwanya dalam mengharapkan keampunan Allah. Syeikh al-Islam Ibn Taimiyyah (w. 728H) menceritakan bahawa bagaimana beliau apabila menghadapi masalah, beliau akan beristighfar sehingga seribu kali atau lebih, di mana sahaja beliau berada; di masjid, di pasar, di pusat pengajian sehinggalah beliau dapati Allah lapangkan dadanya dan tunaikan hajatnya. (lihat: Ibn ‘Abd al-Hadi, al-‘Uqud al-Durriyah, 21. Beirut: Dar al-Kitab al-‘Arabi).
Marilah kita banyakkan istighfar, ia adalah penawar. Istighfar adalah penyembuh derita jiwa seorang hamba. Ia membawa kurnia Allah yang disangka dan tidak disangka. Maka datanglah rezeki, kebahagiaan dan pertolongan. Hiasilah kepahitan hidup dengan istighfar, nescaya kita akan merasai kemanisan dan kelazatan berada di persada alam yang sementara ini.
Sumber: DrMaza


Friday, 12 April 2013

CERITA BINTANG


Pada malam yang tenang dan terang kerana awan tidak berarak mendung, dongakkanlah kepalamu ke langit dunia. Ya, langit yang terdekat. Halakan sepasang matamu ke samudera angkasaraya.

Subhanallah, malam yang indah dan syahdu. Tompokan awan putih bersih berpuput lalu dipukul angin gemalai. Sang unggas dan mergastua tidak henti-henti memuja dan memuji Penciptanya dalam bahasa dan irama yang tulus mengusik jiwa. Bayu malam bertiup lembut menyapa tubuh si perindu Tuhan.
Hati mukmin terasa damai tatkala menyaksikan  “al-Badr” menyimbahkan cahayanya yang dingin lagi mengasyikkan lalu dia terkesima dan tenggelam kusyuk di hadapan duli kebesaranNya.

Panorama langit malam bertambah indah dengan “hiasan” taburan gugusan jutaan bintang menghiasi langit. Gandingan sinar cahaya rembulan purnama dan gemerlapan sekalian bintang yang terus “berenangan” di putaran orbitnya menambahkan lagi seri malam kurniaan Tuhan.

Sayup di hati mukmn rasa “damai” dan “sakinah” yang tidak terhingga lalu terungkap untaian tasbih dan tahmid kerana apa yang mereka sedang lihat dan saksikan di sebalik segala keindahan dan kecantikan itu adalah kebenaran betapa wujud Maha Agung dan Maha Indahnya Allah Tabaraka wa Ta`ala, Pencipta alam semesta.

Firman Allah s.w.t:

“Sesungguhnya Kami telah menghiasi langit yang dekat dengan bintang-bintang dan Kami jadikan bintang-bintang itu alat-alat pelempar syaitan, dan Kami sediakan bagi mereka seksa neraka yang menyala”. (surah al-Mulk,ayat 5)

Imam al-Bukhari menukilkan bahawa Imam al-Qatadah berkata: "Allah menciptakan bintang-bintang tersebut untuk 3 kepentingan:

1.Sebagai perhiasan yang mengindahkan langit malam

2. Sebagai alat pelempar “perejam” terhadap syaitan-syaitan.

Firman Allah Taala:
                                         
“Dan kami jadikannya (bintang-bintang itu sebagai pelempar “rejaman” terhadap syaitan-syaitan”(surah al-Mulk,ayat 5)

3. Sebagai petunjuk arah dan haluan buat manusia.

Di dalam menafsir ayat ke-5 daripada surah al-Mulk, Imam Qatadah as-Sadusiy mengatakan,”Sesungguhnya Allah hanyalah menciptakan bintang untuk 3 tujuan:

1. Sebagai hiasan langit dunia
2. Sebagai pelempar syaitan
3. Sebagai penunjuk arah

Sesiapa yang meyakini fungsi bintang selain itu, maka beerti telah berkata-kata dengan fikirannya semata-mata, dia telah mendapatkan nasib yang buruk, mensia-siakan agamanya dan telah menyusahkan-nyusahkan bicaranya yang tidak memiliki ilmu sama sekali.

Sementara itu, Kiyai Haji Quraisy Shihab menjelaskan fungsi bintang adalah seperti berikut:

1. Bintang yang dekat menghiasi langit bagi orang yg memandang.(QS 67:5)

Sebelumnya,kerja syaitan adalah mencuri berita langit daripada para malaikat langit. Setelah dicuri, syaitan akan membawakan berita-berita langit tadi kepada tuan percikan api tukang ramal di muka bumi. Akan tetapi, Allah sentiasa menjaga langit dengan percikan api dari bintang, maka binasalah para pencuri bintang tersebut, apalagi ketika diutus Nabi s.a.w. Langit terus dilindungi dengan percikan api bintang sebagai perejam bagi syaitan,Wallahu A`lam

“Dan sesungguhnya kami dahulu dapat menduduki beberapa tempat di langit itu untuk mendengarkan (berita-beritanya). Tetapi sekarang yang (mencuba) mendengar-dengarkan (seperti itu) tentu akan menjumpai panah api yang mengintai (untuk membakarnya). Dan sesungguhnya kami tidak mengetahui (dengan adanya penjagaan itu) apakah keburukan yang dikehendaki bagi orang yang di bumi ataukah Tuhan mereka menghendaki kebaikan bagi mereka (al-Jin,ayat 9-10)

Hakikatnya berita langit yang dapat dicuri syaitan adalah sangat sikit sekali (lihat I`anul Mustafid bi Syarh kitabit tuhid,Sheikh Sholih bin Fauzan,2/14-15 tebitan Ulin Nuha,tahun 2003)

3. Sebagai tanda-tanda (penunjuk). Bintang juga berfungsi sebagai penunjuk di dalam kegelapan di darat mahupun laut.

Firman Allah:

“Dan (Dia ciptakan) tanda-tanda (penunjuk jalan.dan dengan bintang-bintang itulah mereka mendapat petunjuk”.(An-Nahl,ayt 16)

4. Sebagai petunjuk tanda kekuasaanNya bagi kaum yang memahami.(QS 16:12).

#DIPETIK DARI BUKU TUHAN ITU DEKAT

Thursday, 4 April 2013

MUHASABAH SOLAT KITA

Apabila hati dan seluruh diri difokuskan di dalam solat,maka seorang hamba itu sebenarnya berada dalam suatu perjalanan rohaniah yang sungguh hebat dan indah.Tidak ada perkara lain bermain di minda selain Allah. Sepanjang 24 jam yang dilalui dalam sehari, tiada saat yang lebih indah dan lebih merehatkan melainkan saat berdiri di hadapan Allah s.w.t

Sabda rasulullah s.a.w:

Pusat kebahagiaanku dijadikan terletak pada (ibadah) solat.(riwayat Muslim)

Dalam sebuah riwayat oleh imam an-Nasa`i, Nabi s.a.w bersabda: "dan dijadikan cahaya mataku pada solat". Apa yang tidak indahnya? Pada saat berdiri dalam solat itulah dia tenggelam dalam munajat ,berbicara dan berbisik dengan Rabbnya. Melalui solat, Allah memberi ruang seluas-luasnya untuk sekalian hamba datang menghadap dan memohon apa sahaja kepadaNya.Allah mahu mendengar rayuan,bisikan,munajat,dan rintihan hambaNya di dalam solat mereka.

Sabda Rasulullah s.a.w :

"Sesungguhnya seseorang yang sedang bersolat adalah sedang bermunajat dengan Tuhannya". (riwayat al-Bukhari)

Saat berlansungnya solat, dirinya dapat merasai apa yang dikatakan hakikat kebahagiaan. Dia juga dapat merasakan kemerdekaan rohnya pada waktu dibawa mengembara jauh menuju keheningan dan kesyahduan Mikraj.

Sabda nabi s.a.w: "Solat itu adalah mikraj bagi orang yang beriman."

Pada saat solat lima waktu itulah, jiwa muslim menjadi sebebas-bebasnya daripada "kehambatan" dan "kekangan" dunia yang tidak pernah bernoktah melainkan apabila malaikat maut menjelma menzahirkan dirinya.

Saat berqiyam itulah menghadap kiblat, jiwa,minda dan tubuh seorang muslim akan menjadi amat tenang , segar dan penuh kerehatan. Segala masalah dan bebanan hidupnya lenyap saat dahi dan 6 anggota sujud menyentuh bumi persis "wayar bumi" yang berfungsi untuk meneautralkan bebanan tenaga elektrik yang berlebihan ke dalam bumi. Benar, solat yang sempurna akan mencetuskan "kerehatan" yang maksimum buat hamba yang beriman.

Sabda Nabi s.a.w :

"Bagunlah wahai Bilal (untuk azan) dan rehatkanlah kami dengan solat."(riwayat Imam Ahmad)

Demikianlah nilai dan kedudukan solat pada mata hati seorang muslim.

Namun,apakah solat kita berlangsung sebagaimana digambarkan? Apakah solat kita selama ini benar-benar membuahkan ketenangan ,kebahagiaan dan kekuatan? Apakah roh kita terasa benar-benar bahagia apabila dibawa "mengembara" ketika bersolat ataupun sebaliknya? Apakah kita telah menjiwai "makna-makna" dan pengajaran yang tersirat yang terkandung dalam kefarduan solat itu?

BELUM RASA KELAZATAN SOLAT

Ya, sehingga kini kebanyakan kita masih belum dapat merasai semua "keindahan" cetusan solat itu. Mengapa kita merasakan amat berat untuk solat? walaupun kita bersolat, jiwa kita berasa lesu dan tidak bersemangat untuk melaksanakannnya. Alasan itu tidaklah pelik kerana penjelasan Allah yang berikut.

KENAPA SOLAT TERASA BERAT?

Solat dianggap "berat" dan "payah" kerana hati belum benar-benar kusyuk. Hati kita belum tunduk dan pasrah kepada Allah dalam erti kata yang sebenar-benarnya.Apabila hati tidak kusyuk,maka solat yang lima minit terasa bagai satu jam.

Firman Allah s.w.t

"Mintalah pertolongan dengan sabar dan solat, dan sesungguhnya solat itu sangat berat kecuali bagi orang yang kusyuk".(surah al-Baqarah ayt 45)

Kusyuk amat penting dalam melaksanakan solat. Apabila orang mukmin dikatakan memelihara solat, maka ia bermakna secara lahiriahnya mereka bersungguh-sungguh memelihara rukun,syarat dan adab. Manakala dari segi istlah pula memelihara kekusyukan solat itu. Solat yang dikira pahala hanyalah solat yang disertai dengan kusyuk padanya. Jika tidak, solat seseorang itu hanya tinggal pergerakan tubuh semata-mata persis jasad yang tidak bernyawa.

KEJAYAAN HAKIKI

Kejayaan hakiki di dunia dan di akhirat hanya akan dikecapi bilamana kita berjuang bersungguh-sungguh memelihara kekusyukan di dalam solat. Hanya dengan kusyuk,kita akan merasakan kesan positif di dalam diri.

Firman Allah s.w.t :

"Sesungguhnya berjayalah orang yang beriman. Iaitu mereka yang kusyuk dalam solatnya."(surah al-Mukminun,ayt 1-2)

Menurut Imam al-Hakim dan Turmuzi, pada suatu hari rasulullah s.a.w ternampak seorang lelaki menyapu janggutnya ketika bersolat,maka baginda pun bersabda : "jika khusyuk hati lelaki ini akan tenanglah anggota badannya".

Imam al-Alusi telah berkata : khusyuk ialah merendah diri dengan perasaan takut di samping tenangnya anggota badan.

Ibn Jarir meriwayatkan bahawa sahabat, Abdullah bin abbas r.a berkata : "mereka yang kusyuk ialah mereka yng takut lagi tenang".

Sahabat Ali bin Abi Thalib r.a berkata : Kusyuk tempatnya dihati.

Imam Hassan al-Basri pula berkata : "tempat kusyuk ialah di hati dan kemudiannya ia mempengaruhi dan mengawal pandangan mata serta memenangkan anggota badan.

Adalah amat penting sekali persiapan hati kita sebelum berdiri melaksanakan solat. Pandangan yang agak merangkumi dan menyeluruh tentang kusyuk ialah pandangan sahabat, Abu Darda` r.a. Beliau berkata, "kusyuk ialah pengagungan terhadap Tuhan, keikhlasan dalam perkataan, kesempurnaan dalam keyakinan, memberikan sepenuh perhatian dan tidak berpaling ke kiri dan kanan kerana ia adalah daripada syaitan". Kesema pendapat ini disebutkan dalam al-Asas fit Tafsir Oleh Said Hawa.




Sumber dari buku Tuhan Itu Dekat

Monday, 11 March 2013

BURUJ ORION PENUNJUK ARAH KIBLAT


Firman Allah swt;Dan (Dia mengadakan) tanda-tanda panduan jalan dan dengan bintang-bintang (pada waktu malam) mereka dapat mengetahui arah yang hendak dituju.Surah an Nahl, ayat 16.


Tahukah anda,buruj Orionmerupakan 3 bintang di langit yang akan anda melihatnya setiap hari di waktu malam walaupun di mana anda berada di planet bumi ini, buruj orion ini akan membentuk 1 garis lurus yang sentiasa menghalakan garisannya terus ke arah bangunan Kaabah.

Buruj bintang yang boleh dijadikan panduan untuk menentukan arah kiblat ialah buruj Orion (Al-Babadur). Tiga bintang berderetan dalam buruj ini iaitu Mintaka (δ Orionis), al-Nilam (ε Orionis) dan al-Nitak (ξ Orionis) boleh digunakan sebagai panduan arah kiblat.
Buruj Orion akan berada di langit Malaysia ketika waktu Subuh pada bulan Julai dan kelihatan tinggi di langit pada waktu tengah malam pada bulan Disember. Pada bulan Mac dan mana yang berhampiran dengannya, buruj Orion akan berada di tengah-tengah langit ketika waktu maghrib. Arah kiblat boleh diketahui dengan mengunjurkan arah bintang tiga berderet berkenaan ke arah barat.

Selain daripada buruj Orion (Belantik), arah kiblat juga boleh ditentukan dari arah utara dan selatan yang ditunjukkan oleh beberapa buruj bintang. Setelah diketahui kedudukan utara, maka arah kiblat boleh ditentukan berdasarkan perbezaan sudut di antara arah utara dengan arah kiblat. Untuk mengetahui arah kiblat dari mana-mana tempat di Malaysia, pembukalah sudut sebesar 68° ke kiri, iaitu arah kiblat yang dikehendaki. Selain dari bintang kutub, anda juga boleh menggunakan arah selatan yang ditunjukkan oleh buruj Pari.

{تبارك الله أحسن الخالقين}

Saturday, 2 March 2013

7 GOLONGAN YANG AKAN MENDAPAT NAUNGAN ALLAH DI AKHIRAT

7 golongan yang akan mendapat naungan Allah di akhirat...

Daripada Abu Hurairah daripada Nabi saw, ia bersabda : Tujuh golongan yang akan dinaungi oleh Allah pada naunganNya pada hari yang tidak ada naungan kecuali naunganNya iaitu :

1.Pemerintah yang adil.

2. Pemuda pemudi yang hidupnya sentiasa mengerjakan ibadat kepada Tuhannya.

3. Orang yang hatinya sentiasa terikat dengan masjid. (solat berjemaah dan di awal waktu)

4.Dua orang yang berkasih sayang kerana Allah di mana kedua-duanya berkumpul dan berpisah untuk mendapat keredhaan Allah.

5. Orang yang dipujuk oleh perempuan/lelaki yang kaya lagi rupawan untuk berzina lalu dia menolak dengan berkata: “Aku takut kepada Allah!” (menggambarkan kekuatan iman dan ketakwaannya)

6. Orang yang bersedekah secara bersembunyi sehingga tangan kirinya tidak mengetahui apa yang diberi oleh tangan kanannya. (menggambarkan keikhlasan hati orang yang bersedekah)

7.Orang yang menyebut atau mengingati Allah dengan keadaan tidak ada dalam ingatannya perkara lain, lalu menitis air matanya kerana takut dan harap kepada-Nya.

(Riwayat Abu Daud, Tirmidzi dan Ibnu Majah)

Mudah-mudahan kita tergolong sekurang-kurangnya salah satu daripadanya..amin ^_^